Friday, January 1, 2010

persoalan tentang tayamum

Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhu’), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhu’ atau mandi?

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya.
Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan.
Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.



Adakah wajib disertai dengan tayammum?
Mengenai soalan ini, para ulama’ berbeza pandangan; 1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.
2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhu’ atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera) b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wudhu’, ada dua pandangan;
(Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhu’ yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhu’.

(Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhu’ atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.
Mereka yang dikehendaki mengulangi atau mengqadha itu adalah di dalam tiga keadaan berikut:
1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sama ada diletakkan pembalut ataupun plaster itu ketika dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.
2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki, tetapi balutan atau plaster itu dipakai ketika dalam keadaan berhadas dan pembalut atau plaster itu menutupi bahagian yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut itu. 3. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan untuk mengikat pembalut.
Manakala orang yang tidak dikehendaki mengulang atau mengqadha sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dilakukannya itu adalah di dalam dua keadaan berikut:
1. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu pula tidak menutupi anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster, sama ada diletakkan balutan atau plaster itu ketika suci daripada hadas ataupun ketika berhadas.
2. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu menutupi bahagian yang tidak sakit hanya sekadar bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster serta diletakkan atau dipakai balutan atau plaster itu ketika dalam suci (tidak berhadas).

No comments:

Post a Comment