Wednesday, February 11, 2015

Bahasa manusia dianggap sebagai sangat unik dan istimewa dari perspektif psikologi kognitif

PENGENALAN

Bahasa manusia boleh dianggap sangat unik dan istimewa kerana bahasa manusia ini berlainan dengan bahasa haiwan. Dengan menggunakan bahasa, tak kira haiwan atau manusia dapat berkomunikasi antara satu sama lain untuk memberitahu tentang sesuatu maklumat atau meluahkan perasaan seseorang, sama ada orang itu marah atau gembira. Yang membezakan antara bahasa manusia dan haiwan adalah cara penyampaian bahasa tersebut, bahasa manusia adalah lebih tersusun berbanding bahasa haiwan yang lebih kepada bunyi-bunyian.Bahasa manusia juga dapat diaplikasikan melalui percakapan, penulisan dan juga bahasa isyarat. Dengan menggunakan bahasa juga, kita dapat menerangkan tingkah laku manusia tersebut. Bahasa manusia unik kerana kita menggunakan bahasa setiap hari dalam kehidupan kita dan kita memperolehi bahasa sejak dari kita kecil lagi. Selain itu melalui bahasa, kita dapat menentukan pengetahuan dan pemahaman tentang sesuatu kerana bahasa dijadikan alat yang paling berkesan untuk menyampaikan maklumat tersebut. Perkembangan bahasa kebanyakan sama walaupun berlainan budaya dan bahasa, kanak-kanak atau bayi pada usia 7 bulan kebiasaan bermula menguasai bahasa dengan “babbling” atau mengeluarkan bunyi seperti mam, mam. Kemudian pada umur setahun, boleh mengeluarkan beberapa perkataan yang difahami. Oleh itu, Melalui kerja kursus ini, kita dapat melihat tentang pentakrifan bahasa menurut psikologi, ciri-ciri bahasa serta cara manusia memproses dan memperoleh bahasa dalam kehidupan seharian kita.

DEFINISI BAHASA

Bahasa boleh didefinisikan menurut E. Bruce Goldstein dalam buku Cognitive Psychology (Goldstein, 2011) sebagai satu sistem komunikasi dengan menggunakan bunyi atau simbol-simbol yang membolehkan kita untuk menyatakan perasaan kita, pemikiran, idea-idea, dan pengalaman. Manakala menurut Robert J. Sternberg (J.Sternberg, 2009), bahasa didefinisikan sebagai penggunaan satu cara yang dianjurkan untuk menggabungkan perkataan untuk berkomunikasi. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa bahasa memainkan peranan dalam pelbagai interaksi sosial untuk tujuan pengajaran, memberi arahan dan menyampaikan perasaan.
Menurut Dr Muhamed Awang (Awang, 1999), beberapa pendekatan telah diketengahkan oleh pengkaji bagi mengkaji bahasa mengikut bidang pengkhususan masing-masing, iaitu :
1.       Ahli antropologi : mengkaji pelbagai bahasa yang dilihat dari segi perbezaan dan bagaimana bahasa digunakan dalam satu budaya yang menggambarkan perbezaan antara satu budaya dengan budaya yang lain.
2.       Ahli linguistik : mengkaji ciri-ciri struktur bahasa dan mencari aspek formal (peraturan).
3.       Ahli Psikologi : kajian mereka tertumpu kepada persoalan bagaimana manausia memperolehi kemahiran menggunakan bahasa dan bagaiaman makna pertuturan diterbitkan dan difahami bersama.

FUNGSI BAHASA

Fungsi utama bahasa adalah untuk berkomunikasi. Komunikasi merupakan proses penyampaian mesej atau makna daripada seseorang kepada orang lain. Oleh itu, Bahasa digunakan dalam pelbagai interaksi sosial seperti tujuan pengajaran, memberi arahan dan menyampaikan perasaan. Bahasa sering digunakan oleh manusia dalam penulisan, pertuturan serta secara tersembunyi semasa berfikir. Bahasa boleh diteliti melalui ciri-ciri bahasa dan cara manusia memproses bahasa tersebut dari sudut pemahaman dan cara pemerolehan bahasa. Selain itu, bahasa juga digunakan sebagai alat untuk menggambarkan sesuatu pengetahuan.

KEUNIKAN BAHASA MANUSIA

Bahasa manusia unik kerana bahasa adalah cara mengatur urutan isyarat sebagai contoh: bunyi untuk bahasa pertuturan, huruf dan perkataan bertulis adalah untuk bahasa bertulis, dan tanda-tanda fizikal untuk bahasa isyarat yang digunakan untuk menghantar, dari seorang ke seorang yang lain, perkara-perkara yang terdiri dari perkara yang mudah dan biasa. Bahasa juga digunakan untuk mencipta ayat-ayat yang baru dan unik kerana ia mempunyai struktur hierarki dan dikawal oleh peraturan bahasa. Sifat hierarki bahasa adalah terdiri daripada satu siri komponen kecil yang boleh digabungkan untuk membentuk unit yang besar. Misalannya, perkataan boleh digabungkan untuk mewujudkan frasa, yang seterusnya boleh mencipta ayat-ayat, dan kemudian menjadi komponen cerita. Sifat berasaskan peraturan bahasa bermaksud ayat ini boleh disusun dengan cara-cara tertentu.
Bahasa bukanlah hanya sistem komunikasi yang menjadi ciri khas bagi manusia, tetapi manusia memiliki ciri-ciri tertentu yang membezakan komunikasi manusia daripada komunikasi makhluk lain. Ciri tersebut adalah kreativiti atau kemampuan seorang penutur merungkaikan unit-unit yang terpisah untuk membentuk ayat-ayat yang baru yang tidak terbatas jumlahnya atau yang belum pernah didengarinya.  (Awang, 2007)

KESEJAGATAN BAHASA MANUSIA

Setiap manusia sangat memerlukan komunikasi antara satu sama lain, termasuk juga bagi golongan pekak dan bisu. Sebagai contoh, mereka mendapati mereka berada dalam pesekitaran yang tiada siapa yang bercakap dan tahu menggunakan bahasa isyarat dengan mereka sehingga menyebabkan mereka mencipta bahasa isyarat mereka tersendiri untuk berkomunikasi. Bahasa adalah universal merentasi budaya. Terdapat lebih daripada 5000 bahasa yang berbeza, dan tidak ada satu budaya tanpa bahasa. Walaupun sebilangan besar bahasa yang sangat berbeza daripada satu sama lain, namun kita boleh menggambarkan mereka sebagai "unik tetapi yang sama". Mereka adalah unik kerana mereka menggunakan kata-kata dan bunyi yang berbeza, dan mereka boleh menggunakan peraturan yang berbeza untuk menggabungkan kata-kata. Mereka adalah sama kerana dalam semua bahasa mempunyai kata-kata yang berkhidmat fungsi kata nama dan kata kerja, dan semua bahasa termasuk sistem untuk membuat perkara-perkara negatif, untuk bertanya soalan, dan merujuk kepada masa lalu dan masa kini.

CIRI-CIRI BAHASA

Dr Awang Sariyan (Awang, 2007) menyenaraikan sepuluh ciri bahasa yang dianggap semulajadi menurut Hockett iaitu:
1.       Penggunaan saluran auditori-pertuturan: ciri bahasa manusia paling jelas di mana bunyi dibentuk dengan menggunakan alat-alat pertuturan, manakala mekanisme pendengaran menerima bunyi tersebut.
2.       Arbitrari: manusia menggunakan simbol-simbol bahasa yang neutral.
3.       Mempunyai makna: keupayaan berbahasa dengan menggunakan simbol sebagai alat untuk merujuk kepada sesuatu objek atau tindakan.
4.       Pancaran budaya atau tradisi: manusia menurunkan bahasa mereka daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain
5.       Penggunaan secara spontan: manusia bertutur dengan bebas tanpa dipaksa-paksa.
6.       Mengikut giliran: manusia mengambil giliran untuk bercakap dan tidak bercakap semasa orang lain bercakap. Selain itu, mengikut giliran bercakap bermula dari peringkat umur yang paling awal, bayi membebel selepas mulut ibunya berhenti bergerak.
7.       Duaan atau artikulasi berganda: bahasa disusun secara berlapis
8.       Pemindahan maklumat: keupayaan merujuk kepada objek atau hal yang berpindah masa dan tempat
9.       Bergantung pada struktur: manusia secara automatic dapat mengenali pola semulajadi bahasa tanpa perlu mengira teknik sewaktu bercakap.
10.   Kreativiti: keupayaan manusia dalam menghasilkan dan memahami ujaran yang tidak terbatas jumlahnya.
Manakala menurut Dr Mansoer Pateda (Mansoer, 1990) mengambil ciri-ciri yang dinyatakan oleh Hill, ciri bahasa ialah:
1.       Bahasa merupakan sekumpulan bunyi (bunyi bahasa).
2.       Bahasa bersifat arbitrer.
3.       Bahasa bersifat sistematik. Setiap bahasa mempunyai sistem tersendiriyang berbeza daripada sistem bahasa yang lain.
4.       Bahasa merupakan sekumpulan simbol. Simbol mewakili suatu benda, proses, peristiwa atau kegiatan.
5.       Bahasa bersifat sempurna.
Menurut Robert J. Sternberg pula, ciri-ciri bahasa ialah :
1.       Komunikatif : bahasa membenarkan berkomunikasi di antara satu atau lebih orang dalam berkongsi bahasa.
2.       Simbol arbitrer: bahasa mewujudkan hubungan rambang antara simbol dan rujukannya yang: idea, sesuatu perkara, proses, hubungan atau penerangan.
3.       Kerap berstruktur: bahasa mempunyai struktur, hanya terutamanya corak perkiraan simbol mempunyai makna, dan susunan yang berbeza menghasilkan makna yang berbeza.
4.       Distrukturkan sebagai pelbagai peringkat: bahasa struktur boleh dianalisis di lebih daripada satu tahap.
5.       Generatif, produktif: dalam had struktur linguistik, pengguna bahasa boleh menghasilkan ujaran novel.
6.       Dinamik: bahasa sentiasa berkembang.

KESIMPULAN

Bahasa manusia ini sangat istimewa tanpa kita sedari. Kita telah mengetahui keunikan bahasa manusia setelah mengkaji bagaimana cara pemerolehan bahasa dan pemprosesan bahasa dalam kehidupan seharian. Daripada sumber maklumat kita terima, kemudian kita memproses maklumat tersebut menggunakan otak dan akhir sekali kita melakukan penyampaian maklumat tersebut melalui isyarat lisan atau bukan lisan. Isyarat bukan lisan adalah seperti gerakan badan, bunyi bukan bahasa seperti ketawa, mendeham atau batuk kecil. Melalui bahasa, manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Kanak-kanak yang bisu juga mampu belajar bahasa melalui isyarat bukan lisan. Hal ini membuktikan kemampuan mendengar atau mengeluarkan bunyi-bunyi ujaran bukan syarat mutlak untuk mempelajari bahasa. Bahasa manusia dianggap unik berbanding haiwan kerana kemampuan manusia dalam membentuk ayat-ayat baru yang tidak terbatas jumlahnya atau yang belum pernah didengarinya. Selain itu bahasa juga berfungsi sebagai alat yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu pengetahuan. Sebagai kesimpulan, bahasa mempunyai banyak perkaitan antara otak dan kelakuan. Kita dapat menilai seseorang berdasarkan bahasa yang digunakan oleh seseorang dan tindak balas selepas penerimaan maklumat

RUJUKAN


Awang. (2007). Pengantar Psikolinguistik. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn Bhd.
Awang, M. (1999). Psikologi Kognitif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Goldstein, E. B. (2011). Cognitive Psychology. Canada: Wadsworth, Cengage Learning.
J.Sternberg, R. (2009). Cognitive Psychology. United States of America: Wadsworth Cengage Learning.

Mansoer. (1990). aspek-aspek psikolinguistik. yogyakarta: Nusa Indah.

1 comment: